Kekarutan Sekitar Kayu
Kokka
Oleh: Abu Abd Rahman Al Madini.
(Musim Haji Tahun 1426H)
Kokka yang ajaib
Adik, kat mana saya nak beli tasbih Kokka?
Ustaz ada orang pesan saya kayu Kokkalah, sini
murah tak?
Aku dah beli dah, berkilat engkau wangi lagi.
Ungkapan-ungkapan begini amat sinonim bagi
pengunjung Tanah Haram pada musim haji dan umrah. Para
jemaah haji dan umrah yang datang dari jauh dengan membawa panji tauhid dalam
talbiah mereka kadangkala turut terpukau dengan karut marut serta khurafat yang
datang bersama kayu Kokka.
Apakah dia kayu Kokka
yang telah mencuri perhatian ramai di kala ini?
Kononnya kayu Kokka merupakan kayu yang paling
tinggi mutunya antara semua kayu di atas muka bumi dan hanya terdapat di negara
tertentu seperti Turki dan Mesir. Ianya telah digunakan sejak zaman nabi-nabi
lagi. Bahan asas bahtera nabi Nuh adalah kayu Kokka, tongkat nabi Musa dan nabi
Syuaib juga di ambil daripada kayu Kokka!!
Kini Kokka menjadi buruan orang ramai di Malaysia. Ia
boleh di dapati di kedai-kedai yang menjual buku agama, minyak atar dan kaset
agama dalam pelbagai bentuk seperti loket, mata cincin, cincin belah rotan,
untaian tasbih ataupun butiran tasbih bahkan krim dan minyak.
Antara khasiat dan keajaiban yang
dihebah-hebahkan ialah ia boleh menjadi penawar, penyembuh dan pelindung. Lebih
melampau dari itu terdapat kisah-kisah pelik dan ajaib yang terang-terang
merupakan cerita yang direka-reka bagi melariskan barangan ataupun mainan serta
tipu daya syaitan yang berbentuk khayalan. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan
hanyalah untuk menyesatkan orang beriman serta melalaikan mereka dari
bergantung serta bermohon kepada Allah.
Dalil bahawa ianya tipu daya syaitan ialah
satu athar (riwayat) daripada Abdullah bin Mas'ud RA bahawasanya dia memotong
pintalan tali yang telah dijampi yang dipakai oleh isterinya. Lalu isterinya
berkata, Mataku sakit, sekiranya aku mengenakan jampi aku merasa lega dan jika
aku tinggalkannya sakitku menyeksa.Ibnu Mas'ud menjawab, Yang sebenarnya ini
adalah kerja syaitan. Sekiranya engkau mengingkarinya ia menyakitkanmu dan jika
engkau taatinya ia membiarkanmu. [lihat Sunan Ibn Majah (no.3530].
Persoalan yang kita bincangkan ini melibatkan
kepercayaan dalam soal agama. Perkara agama mestilah berpaksikan dalil yang
sahih untuk diamalkan. Dalil dalam perkara agama mestilah dari Quran, hadith
yang sahih dan hasan, serta ijmak. Jika tidak amalan hanya akan menjadi sia-sia
dan mungkin mengundang dosa sahaja.
Justeru, kita wajib percaya bahawa nabi Nuh
alaihissalam membina bahtera kerana ia disebut oleh al-Quran dan hadith.
Kedua-duanya adalah asas yang sahih. Namun tidak pula disebut di dalam
kedua-duanya bahawa bahtera itu daripada Kokka!! Jadi bagaimanakah dapat kita
mengetahui bahawa ianya daripada Kokka?
Sumber cerita Israiliyyat (jikalau ada) ia
hanyalah khabar dan bukanlah hujah yang membolehkan kita memakai Kokka untuk
berlindung daripada bala atau musuh serta makhluk halus sebagaimana terdapat
dalam kisah ajaib kayu Kokka.
Seterusnya, kalaulah benar kayu Kokka adalah
bahan bahtera nabi Nuh, siapakah yang pernah melihat bahtera tersebut ataupun
menjumpainya? Ataupun sekurang-kurangnya serpihan bahtera baginda untuk kita
katakan sebagai sumber arkeologi.
Menurut sesetengah orang bahwa bahtera nabi
Nuh daripada kayu pine. Ini adalah nas Taurat. [Lihat al-Bidayah wa an-Nihayah
(1/124), lihat juga Torakh: Genesis chapter 6:14, kayu itu disebut sebagai
gopher wood. Penafsir Injil menyatakannya sebagai pokok cypruss. Lihat
(www.keyway.com)]
Begitulah halnya dengan tongkat nabi Musa dan
nabi Syuaib alaihimassalam. Bahkan Imam Abdur Razzaq telah menukilkan di dalam
tafsirnya bahawa al-Kalby (seorang perawi yang dhaif) telah berkata,
"Tongkat nabi Musa diperbuat daripada kayu Ausaj" [sejenis pokok berduri
dari spesis terung. Buahnya bulat dan hitam menyerupai batu aqiq. Lihat: Mu'jam
al-Wasit (m.s 600)] . Begitu juga disebut oleh Imam at-Thabari dari Imam
Qatadah [Lihat Tafsir as-San'ani (3/91) dan Tafsir at- Thabari (20/17)]
Jelaslah bahawa Israiliyyat (riwayat yang
dibawa oleh ahli kitab) sendiri tidak menyebut perihal Kokka. Jadi dari mana
datangnya cerita kokka?!
Kenapakah nabi Sulaiman alaihissalam tidak
disebut bersama? Adakah kerana tongkat baginda telah dimakan anai-anai?
(serangga perosak mungkin tidak dapat mendekati Kokka) ataupun baginda tidak
tahu tentang kayu Kokka? Mustahil!!
Saya tertarik dengan hujah ringkas seorang
jemaah Haji yang pintar dalam mengulas pamphlet khasiat kokka yang banyak
tersebar yang menyebut (dengan izin Allah seperti yang berlaku di negeri Syam
para soldadu telah memakainya dan tubuh mereka menjadi kebal) Ujarnya:
"Kalaulah Kokka ni macam yang disebut-sebut kenapa Nabi Muhammad SAW tak
pakai kayu kokka semasa berperang kat Uhud. Kan senang musuh terus cabut!!"
Tiada siapa yang pernah menjumpai bahtera dan
tongkat tersebut namun ramai yang tahu ianya diperbuat daripada kayu Kokka.
Inilah sebenarnya keajaiban Kokka.
Mensyukuri nikmat Iman
Iman adalah nikmat Allah yang agung yang
dikurniakan bagi hamba-Nya yang Dia kehendaki. Memeliharanya adalah kewajiban
yang sangat penting memandangkan nilainya yang amat tinggi bahkan ia tidak
ternilai. Ia mudah terhakis dari hati mukmin sekiranya dia melakukan dosa
samada besar maupun kecil. Ia adalah satu-satunya barang dagangan sang insan
apabila dia dihadapkan di hadapan Allah pada hari kiamat.
Oleh itu, janganlah sampai barang dagangan
kita tergadai di dunia lagi dengan melakukan syirik. Sesungguhnya syirik
menafikan iman dan menghapuskannya. Serta ketahuilah bahawa pintu-pintu syirik
kadangkala amatlah halus dan sukar dilihat mata kasar sehingga disebut bahawa
ia lebih sukar dilihat daripada kaki semut hitam yang merayap di atas batu yang
legam pada malam yang amat kelam.
Mengetahui perkara-perkara yang boleh membawa
kepada kesyirikan adalah penyebab yang boleh menyelamatkan kita dari bahaya
syirik. Jesteru, kita hendaklah bersyukur dengan sebenar-benarnya pada Allah
SWT yang telah mengurniakan nikmat iman serta memberikan kita ilmu yang mampu
menjadi benteng pemelihara iman.
Syirik dalam Kokka
Syirik di sisi syariat Islam bermaksud
meletakkan sesuatu yang merupakan hak-hak Allah yang khas bagi-Nya atau
sebahagian daripada hak-hak tersebut pada yang selain dari Allah. Pendekatan
menyekutukan Allah dengan yang lain pada hak-hak yang khas bagi Allah.
Antara hak Allah ialah hak mencipta,
mentadbir, dan memberi rezeki. Oleh yang demikian orang yang berkata, Rezeki
saya di tangan fulan, telah melakukan syirik kerana dia telah meletakkan hak
Allah iaitu memberi rezeki pada selain dari Allah.
Firman Allah SWT bermaksud:
(Katakanlah (wahai Muhammad) siapakah yang
mengurniakan rezeki kepadamu dari langit dan bumi dan siapakah yang berkuasa
(menciptakan) pendengaran dan penglihatan atau siapakah yang mengeluarkan yang
hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup atau siapakah
yang mengatur segala urusan? Lalu mereka menjawab 'Allah', maka katakanlah
(kepada mereka) mengapa kamu tidak bertaqwa.) [Yunus: 31]
Antara hak Allah yang lain ialah sifat Allah,
perbuatan-Nya serta nama-Nya. Semuanya adalah khusus bagi Allah dan tidak boleh
dibandingkan dengan makhluk. Maka kita tidak boleh mengatakan Allah mempunyai
tangan seperti tangan kita, Allah melihat sebagaimana penglihatan makhluk
ataupun kita menamakan anak dengan nama Allah. Semua yang di atas adalah kufur
dan syirik yang mesti di jauhi.
Firman Allah yang bermaksud:
(Tiada sesuatu yang menyerupai dengan-Nya
(Allah) dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.) [Syura: 11]
Syirik yang berlaku dalam penggunaan Kokka dan
seumpamanya seperti tangkal, pendinding, tulang duyong adalah syirik dalam
ibadat. Ibadat adalah hak Allah yang khas baginya.
Mungkin orang yang menggunakan Kokka akan
berkata, Saya tak sembah selain daripada Allah! Saya sembahyang lima waktu, berpuasa,
berzakat dan menunaikan haji semuanya kerana Allah. Bagaimana dengan
hanya memakai kayu Kokka kamu kata saya telah melakukan syirik? Ini tuduhan
yang berat!
Seorang muslim perlu memahami dan mengetahui
bahawa skop ibadat tidak hanya meliputi rukun Islam yang lima sahaja. Bahkan amalan ibadat merangkumi
amalan lisan seperti syahadah dan zikir, amalan zahir seperti rukun Islam yang
lain serta lain-lain amalan anggota seperti tolong menolong dan berpakaian, dan
yang paling hebat dan agung ialah amalan hati. Contoh amalan hati ialah ikhlas,
khusyuf, takut, berharap dan
tawakal. Semua ini adalah ibadat yang menjadi hak Allah secara mutlak dan kita
diharamkan menyekutukan Allah padanya.
Di manakah syiriknya?
Secara amnya orang yang memakai tasbih Kokka,
cincin Kokka, atau apa-apa sahaja yang seumpamanya (dengan anggapan bahawa
perkara-perkara tersebut mempunyai keupayaan tertentu: Nota penyunting)
telah melakukan syirik dalam tawakal. Tawakal bermaksud pergantungan kepada
Allah dengan melakukan sebab yang menyampaikan kepada tujuan. Allahlah
satu-satunya yang mampu memberi manfaat dan menolak bencana, bukannya kayu atau
tangkal atau sebarang jampi serapah yang menyalahi syaraf dan sunnah Rasulullah
SAW.
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad
dan Imam Tirmizi Rasullullah SAW bersabda, maksudnya: (Barangsiapa
menggantungkan sesuatu [dengan tujuan berlindung daripada bencana atau memohon
manfaat] maka pergantungannya adalah pada benda itu). [lihat Sunan Tarmizi (no
2072)]
Dalam hadith yang lain baginda telah bersabda,
maksudnya: (Barangsiapa yang mengenakan tangkal, sesungguhnya ia telah
melakukan syirik.). [lihat Musnad Imam Ahmad (4/154)]
Syirik yang dilakukan oleh pengguna Kokka,
tangkal dan seumpamanya ada beberapa peringkat. Ia bergantung pada sejauh mana
pergantungan pemakai terhadap benda-benda ini.
Peringkat pertama.
Sekiranya dia beri iftiqad bahawa benda-benda ini mempunyai kuasa
yang mampu memberi manfaat atau menolak bencana dengan sendirinya maka dia
telah terjerumus ke jurang syirik besar yang membatalkan iman dan syahadah.
Perbuatannya juga telah membatalkan seluruh amalan baik yang telah dilakukan.
Ini kerana ia telah bertawakal pada yang lain selain daripada Allah. Lebih
teruk daripada itu ia bertawakal pada benda yang langsung tidak mampu memberi
manfaat padanya maupun menolak sebarang bencana baik secara logik akal apatah
lagi di sisi syarak yang telah menafikannya dari awal lagi.
Peringkat kedua.
Sekiranya dia beri iftiqad bahawa Allah
sahajalah yang mampu memberi manfaat dan menolak bala bencana, namun dia
menggunakan benda-benda ini sebagai sebab atau alat untuk mandatangkan manfaat
daripada Allah dan menolak bala -sebagaimana orang sakit memakan ubat sebagai
penyebab untuk sembuh atau pemburu menggunakan senapang untuk membunuh-,
sesungguhnya dia telah tergelincir ke dalam lembah syirik kecil. Yang demikian
kerana dia telah mereka-reka perkara dalam agama yang tidak diizinkan oleh
Allah di samping mendakwa bahawa Allah menyukai perkara yang ia lakukan.
[lihat: Fath al-Majid (m.s 104)]
Terdapat perbezaan antara Kokka dan
seumpamanya dengan ubat dan senapang. Ubat dan senapang sebab dan akibatnya
adalah zahir, sementara Kokka sebab dan akibatnya tidak zahir. Kalau seseorang
berkata, Bawalah senapang ini. Musuh akan takut. Kata-katanya diterima akal.
Inilah maksud zahir. Lantas ianya dibenarkan. Namun kalau disebut, Jika anda
membawa tasbih ini musuh akan takut, orang yang berkata tadi mestilah membawa
dalil yang lain bagi menyokong dakwaannya kerana sebabnya tidak zahir.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada
Imran bin Husoin bahawasanya Rasulullah SAW terlihat seorang lelaki yang
mengenakan kalung dari besi kuning di tangannya. Lalu baginda bertanya, (Apakah
ini?) Lelaki itu menjawab, Penangkal Wahinah [sejenis penyakit pada lengan]
Baginda lantas bersabda, (Tanggalkannya! Sesungguhnya ia takkan menambahkan
apa-apa kepada kamu melainkan kelemahan. Sesungguhnya sekiranya kamu mati dan
kamu masih memakainya nescaya kamu tidak akan selamat selama-lamanya.) Hadith ini
diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang hasan. [lihat Musnad Imam Ahmad
(4/445)]
Syirik yang kecil tidak bererti dosa yang
kecil. Bahkan sebesar-besar dosa selepas syirik yang besar adalah syirik kecil
kerana ia boleh membawa kepada syirik yang besar.
Kafarah bagi orang yang melakukan syirik yang
kecil ialah dengan bertaubat dengan taubat nasuha. Taubat sahajalah yang mampu
menyucikan dosa syirik. Kendatipun telah melakukan syirik, pelaku syirik yang
kecil tidak akan kekal di dalam neraka. Setelah dosanya dibersihkan dengan azab
dan seksa yang maha pedih, dia akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke
syurga.
Berhubung dengan pemakaian kayu Kokka atau
seumpamanya dengan tujuan saja-saja seperti melawa atau seumpamanya, perkara
ini mesti ditinggalkan. Ini kerana ia merupakan perbuatan ahli bid'ah dan kita
dilarang dari menyerupai mereka kerana peniruan gaya hidup menunjukkan keredhaan dan kesukaan
kita pada perkara tersebut. Apatah lagi para pelajar agama dan para Hujaj (Haji
dan Hajah) yang menjadi teladan di tanah air.
Dalam sebuah hadith daripada Ruwaife
bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda kepadanya, Maksudnya: (Wahai Ruwaife,
engkau mungkin akan hidup lama. Khabarkanlah kepada sekelian orang bahawasanya
barangsiapa yang mengikat janggutnya atau menggantungkan tali panah pada
haiwannya [untuk mengelak 'ain] atau beristinja dengan tahi binatang
sesungguhnya Muhammad SAW berlepas diri daripadanya.). [lihat Musnad Imam Ahmad
(4/108-109)]
Sebab larangan mengikat janggut adalah kerana ia
perbuatan ahli majusi. Ianya merupakan simbol serta gaya hidup mereka dan kini ia dipopularkan
oleh trend muzik global seperti hiphop dan alternatif. Rasulullah SAW melarang
dari meniru mereka dan berlepas diri daripada orang yang meniru mereka walaupun
ia tidak memasuki agama majusi .[lihat Fath Majid (m.s 152)]
Contoh yang lain ialah serban. Hukum asal
memakai serban adalah harus bahkan ada yang mengatakan sunnah. Namun jika ia
dililit seperti lilitan penganut agama sikh hukumnya menjadi haram kerana
menyamai perkara yang menjadi simbol mereka begitu juga jika dipakai seperti gaya kumpulan sufi
penyembah kubur yang banyak di India. Ia adalah simbol ahli bid'ah yang tidak
harus ditiru walaupun dengan tujuan saja-saja.
Menurut ulama, tiada suatu bid'ahpun yang
dilakukan melainkan suatu sunnah (yang bertujuan seumpama bid'ah tadi) telah
dimatikan.
Tanyakanlah pemakai kayu kokka, adakah dia
mengamalkan zikir pagi dan petang seperti sunnah Nabi SAW sebagai pelindung
untuk setiap hari? Adakah dia tahu doa yang Nabi SAW baca untuk melindungi cucu
baginda SAW Hasan dan Husin dari terkena 'ain dan syaitan ataupun dia
menggolekkan butir kokka pada dahi anaknya sahaja? Adakah dia mengamalkan doa
sebelum tidur yang boleh menjauhkannya dari sihir ataupun dia hanya meletakkan
butir Kokka di bawah bantal? Lihatlah sunnah Nabi SAW yang ditinggalkan akibat
bid'ah Kokka!
Untuk bersikap insaf saya akui kemungkinan
Kokka mengandungi zat dan khasiat perubatan (meskipun belum pernah dikemukakan
secara klinikal) untuk mengubati sesetengah penyakit. Mungkin!! Namun pegangan
karut seperti penangkal, pelemah musuh, anak menangis, penghalau hantu dan
sihir amatlah tidak dapat diterima.
Akhir kata saya memohon taufik daripada Allah
Taala buat kita semua, moga-moga kita akan selamat dari fitnah dan ujian-Nya.
Ingatlah, tawakal atau pergantungan adalah
bentuk ibadat yang sangat hebat dan tinggi darjatnya. Allah berjanji akan
memasukkan hamba-Nya yang benar dalam tawakalnya kepada Allah ke dalam syurga
tanpa perlu dihisab apatah lagi diazab. Wa Allahu a`lam.
Sumber: www.tranungkite.net dengan
sedikit pindaan dan suntingan . Tajuk asal artikel: Keajaiban Kayu Kokka