|
SATU ketika orang Islam dihormati dan disegani lawan kerana pelbagai
kejayaan dicapai, malah bersama sistem nilai terpuji dengan sebahagian
besar penjuru dunia dikuasai Muslim membuatkan semakin ramai berminat
ikut serta dalam agama suci ini.
Orang
Islam menakluki wilayah dari Timur Tengah hingga ke selatan benua
Eropah dalam tempoh kurang daripada 100 tahun. Perjuangan itu berakhir
di Perancis yang mewakili Eropah Barat dan di Vienna, Austria, Eropah
Timur.
Mereka juga dapat menakluki wilayah utara benua Afrika,
seperti Mesir dan Maghribi, malah pada era Uthmaniyah mereka berjaya
menewaskan empayar besar Byzantium yang ketika itu menguasai Asia
kecil, sekali gus menegakkan syiar Islam di negara terbabit.
Semua kejayaan itu diperoleh kerana kesungguhan, kecekalan dan
keberanian orang Islam, di samping adanya ketaatan kepada pemimpin,
sehingga sanggup mengharungi sebarang keadaan walaupun terpaksa
bergadai nyawa sendiri.
Kekentalan mereka baik di daratan
mahupun di lautan jelas tergambar, misalnya dalam misi ketenteraan
menentang tentera Byzantium yang menguasai Laut Merah sejak
pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab dan serangan ke atas Pulau
Cyprus.
Disebabkan semangat juang yang tinggi, sifat sabar
dan tidak mudah putus asa daripada mengharapkan pertolongan Allah
mereka juga berjaya merentasi Selat Gibraltar untuk menawan selatan
Sepanyol yang ketika itu dikuasai orang kafir.
Kehidupan mereka
berdisiplin, memelihara solat, hati mereka teguh dan yakin kepada
pertolongan Allah, yang menjanjikan kemenangan dan kejayaan kepada
orang beriman.
Oleh kerana itu, tiada istilah pengecut atau
menyerah sebelum berperang bagi generasi terbabit. Mereka berdepan
musuh dengan berani, tidak gentar untuk gugur sebagai syahid,
semata-mata menegakkan agama Allah, Islam dan hingga kini Islam
diterima ramai.
Bagi menyingkap kegemilangan generasi Muslim
itu, PTS Islamika menampilkan sebuah buku berjudul Penakluk Andalusia
yang ditulis Luqman Ghazzi.
Setebal 175 halaman, buku
pahlawan Muslim itu ditujukan kepada remaja supaya dapat menjadikan
generasi dulu sebagai teladan, terutama dalam membentuk jiwa kental dan
peribadi berani menghadapi cabaran hidup.
Antara diceritakan
membabitkan kisah Khalid al-Walid, Jaafar bin Abu Talib, Hamzah, Salman
al-Farisi, penakluk Andalusia Tariq bin Ziad, taktik Abdullah bin Zubir
menghadapi Raja Berber, taktik perang Abu Ubaidah bin al-Jarah dan
keberanian Sultan Muhammad al-Fateh.
Kisah Sultan Muhammad
al-Fateh yang menaiki takhta pada usia 19 tahun sangat menarik
diperhatikan, kerana pada usia yang sangat awal itu rata-rata remaja
kini lebih gemar bersuka ria dan berfoya-foya.
Walaupun usia
masih muda, kematangan dan keberaniannya terserlah, memimpin angkatan
tentera untuk menyerang kota Konstantinopel yang dikuasai oleh empayar
Byzantium.
Dalam peperangan itu, beliau menunjukkan kepintaran
menggunakan menara bergerak untuk menghampiri dan menembusi kubu
empayar terbabit dan berbekalkan ketabahan menghadapi musuh, akhirnya
orang Islam dapat menguasai kota terbabit.
Secara fizikal, buku
terbabit menampilkan koleksi cerita sejarah Islam membabitkan pahlawan
Muslim dan peperangan, tetapi dari aspek lain ia menekankan persoalan
jati diri, keberanian, kekentalan, kekuatan semangat dan ketaatan
kepada pemimpin.
Ciri positif seperti itu pasti sesuai dipupuk
dan disemat pada setiap remaja, lebih-lebih lagi dalam menghadapi
cabaran global yang kian kronik. sumber: Harian Metro, 14 Mac 2008.
dipetik daripada : Harian Metro
Oleh: Syafizan
|